PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi mengakui sedikit gementar untuk memulakan persaingan dalam kejuaraan kelas Moto3 musim 2020.
Jelas Khairul Idham atau lebih dikenali dengan jolokan SuperKIP itu, musim ini dianggap satu cabaran kerana kembali beraksi dalam kelas Moto3 selepas kali terakhir pada 2016.
"Untuk tahun ini, saya boleh katakan agak mencabar. Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk tahun ini.
"Selepas tiga tahun tidak menunggang motosikal Moto3, memang sedikit kekok. Ini kerana corak tunggangan Moto2 dan Moto3 agak berbeza. Ujian yang saya lalui di Jerez OK dan saya mampu menunjukkan peningkatan setiap kali keluar melakukan pusingan," katanya.
Pelumba berusia 21 tahun itu berlumba pada saingan Moto2 tahun lalu, namun mengalami kecederaan serius di bahagian jari kelingkingnya akibat kemalangan di Grand Prix (GP) Sepanyol.
Susulan kecederaan itu, Khairul Idham hanya mampu melengkapkan tiga pusingan awal pada saingan kelas tersebut musim lalu.
"Kecederaan jari setakat ini alhamdulillah OK. Tak ada apa yang menghalang (pergerakan) saya, cuma jari (kelingking) tak boleh bengkok," katanya.
Sebagai rekod, Khairul Idham pernah melakar sejarah meraih dua kemenangan dalam kelas Moto3 di GP Argentina dan Jerman, empat tahun lalu.
Pusingan pertama bagi musim 2020 akan membuka tirai di Litar Losail pada 8 Mac dengan Litar KymiRing menjadi destinasi baharu dalam kalendar tahun ini pada 12 Julai nanti.
0 Comments