SEORANG wanita yang pernah menyertai program realiti hiburan televisyen, didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
Jamaliah Saadun, 48, bersama Mohd Idris Yasmir, 34, dan Muhammad Dhirar Raihan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan niat melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta seorang individu yang dinamakan sebagai M Kesavan, 60 tahun.
Rompakan itu melibatkan rantai emas, wang tunai sebuah kereta di Taman Teluk Mas, Melaka jam 3 pagi 15 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Elesabet kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu pada prosiding berasingan, Jamaliah bersama seorang lagi rakan wanita, Madura Mahat, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak telefon bimbit dan mencederakan Muhammad Miskeen Kind Marhoom, 70.
Dalam rompakan pada 18 Disember itu, kedua mereka didakwa menyeret mangsa menggunakan kereta di tepi Jalan Seri Mangga 8, Taman Seri Mangga.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34.
0 Comments