SEORANG pemimpin sayap pemuda KEADILAN berpandangan Rafizi Ramli mampu meneruskan kembali perjuangan reformasi dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dapat meyakinkan kembali rakyat kepada parti itu dan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Ahmad Syukri Ab Razab berkata begitu sebagai mengulas keputusan Naib Presiden KEADILAN itu untuk aktif kembali di arena politik negara selain bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan Mei nanti.
"Kepulangan beliau ke arena politik mendatangkan gelombang luar biasa sama ada dalam KEADILAN dan juga di luar parti.
“Rugi jika beliau tidak diberi peluang untuk menjadi orang nombor dua di belakang presiden.
"Gandingan beliau dan Anwar sudah pasti akan mengangkat semula KEADILAN ke arah memenangi suara hati rakyat dan memenangi naratif segar dan membangunkan negara serta meneruskan perjuangan untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri,” katanya dipetik laporan FMT.
Ahmad Syukri juga menyatakan keyakinan bahawa Rafizi mampu menggalas tugas Timbalan Presiden parti dengan baik.
Selain Rafizi antara nama besar yang disebut-sebut bakal merebut jawatan Timbalan Presiden adalah Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin bagaimanapun menegaskan sedang mendapatkan pandangan dan masih belum memuktamatkan jawatan mana bakal ditandinginya nanti.
Sementara itu Ahmad Syukri yakin sekiranya berlaku pertembungan antara dua tokoh itu ia tidak akan menolak parti tersebut ke kancah perpecahan.
“Saya tak rasa kali ini akan ada perpecahan sebab pertembungan dua nama besar ini (Rafizi-Saifuddin) adalah pilihan baik untuk ahli KEADILAN. KEADILAN menampilkan dua calon yang bagi saya ada kredibiliti, dua calon kita ini memang boleh membawa parti ke satu tahap yang lebih baik.
![]() |
Suara hati rakyat mesti dimenangi semula |
“Bagi saya memang ada pertembungan. Itu hak demokrasi siapa juga akan bersaing, cuma anggota kita perlu melihat kepada keperluan parti dan politik di peringkat nasional dan keperluan politik yang boleh mengangkat semula HARAPAN sebagai satu gabungan diyakini rakyat,” katanya.
0 Comments