Jangan biar watak tamak manipulasi MySejahtera- Anwar

 


SIASATAN komprehensif bagi mengenal pasti segala perihal membabitkan aplikasi MySejahtera, terutama berhubung kerahsiaan data peribadi perlu dimulakan oleh Parlimen, tegas Datuk seri Anwar Ibrahim.

Melalui satu kenyataan, Ketua Pembangkang itu berkata, persoalan tentang pemilikan aplikasi MySejahtera dan datanya terus kabur walaupun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin cuba menjelaskannya kontroversi berkait isu itu.

Justeru pemilikan aplikasi MySejahtera tersebut mesti disiasat agar kerahsiaan data peribadi rakyat terjamin dari mereka yang mahu mengaut keuntungan.

“Saya kini menggesa sebuah siasatan yang komprehensif oleh Parlimen dimulakan bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera bagi memaknai konsep ketelusan.

“…dengan maksud kerahsiaan data peribadi dilindungi dari watak-watak yang tamak yang hanya mahu mencari keuntungan dari data peribadi rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini pada 24 Mac lalu, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.

BACA:Mengapa k'jaan jual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta ?


Merujuk kepada data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Anwar berkata, KPISoft Malaysia Sdn Bhd, syarikat membangunkan MySejahtera, dimiliki 100% syarikat berpangkalan di Singapura, Entomo Pte Ltd.

Kabinet dilapor pada 26 November 2021 telah memberi kebenaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Anwar mahu Parlimen siasat isu MySejahtera
"Saya juga terkejut bahawa Majlis Keselamatan Negara pada bulan April 2020 telah membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi yang sangat penting kepada kepentingan keselamatan negara yang tidak hanya punya akses kepada maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian yang bertulis, tapi mempunyai pemilikan ke atas kerahsiaan dan data aplikasi tersebut.

"Ini membimbangkan kerana kerajaan telah melibatkan entiti asing tanpa kontrak atas tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membangun dan mengurus perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat negara ini

"Berbanding menjelaskan persoalan-persoalan ini, kabinet kini sedang mempertimbangkan untuk menganugerahkan MySJ Sdn. Bhd. kontrak secara runding terus untuk aplikasi MySejahtera" tegasnya. 

Post a Comment

0 Comments