Anwar masih ancaman besar untuk BN-PN, kata Rafizi


BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang baru-baru ini mengumumkan untuk kembali aktif berpolitik menegaskan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan ancaman besar untuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap dalam program Agenda AWANI terbitan Astro pada Isnin, berkata bekas timbalan perdana menteri itu merupakan individu paling sesuai mengemudi KEADILAN dan HARAPAN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Pendirian Rafizi itu sekaligus menjawab persoalan mengapa beliau sendiri tidak memilih mencabar jawatan Presiden KEADILAN yang disandang Anwar ketika ini.

“Bagi saya, cukup jelas bahawa satu-satunya calon Perdana Menteri yang berkebolehan untuk menarik minat pengundi yang tidak bersetuju dengan BN atau PN adalah Anwar.

“Ini bukan soal Presiden atau kedudukan, isunya ialah bagaimana kita nak memperkukuhkan persiapan KEADILAN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk masuk dalam PRU akan datang dengan lebih berkeyakinan selepas kita tewas dalam empat PRN,” tambahnya.

Rafizi baru-baru ini mengumumkan mahu bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden yang menurutnya posisi sesuai untuknya bagi menggerakkan usaha persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas HARAPAN gagal dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) pasca PRU yang lalu.

Bercakap mengenai kekalahan itu, Rafizi melihat bahawa sebahagian besarnya adalah berpunca daripada pengundi atas pagar yang merasakan mereka terpisah daripada diskusi politik negara.

"Ia disebabkan oleh senario di mana kita lihat gabungan-gabungan politik yang ada ketika ini lebih kepada merebut kuasa, tetapi tidak menumpukan kepada usaha untuk menyelesaikan isu harian dan permasalahan yang dihadapi rakyat," katanya.

Fokus tarik sokongan pengundi atas pagar
Jadi, disebabkan itu, beliau tergerak untuk membantu membawa kembali diskusi politik negara ke arah PRU akan datang supaya lebih tertumpu kepada isu-isu rakyat seperti harga barang, ekonomi anak muda, pekerjaan dan sebagainya.

“Sebahagian besar kami tidak begitu berminat dengan jawatan tapi kita nak pastikan bahawa kemajuan yang kita telah capai sehingga menyebabkan perubahan politik negara pada 2018 itu dapat diteruskan dalam PRU akan datang.

“Jadi tempat yang terbaik ialah masuk di peringkat Timbalan Presiden supaya kita dapat perkuatkan jentera dan juga naratif serta persiapan ke arah PRU15,” kata Rafizi pada program itu.


Post a Comment

0 Comments