Misi 4 wanita cari kapsul di Antartika tertangguh


EKSPEDISI
‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) ke Antartika yang sepatutnya bermula Rabu lepas ditangguh berikutan keadaan hujan yang tidak menentu di Puntas Arenas, Chile.

Mentor Aweta, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menerusi perkongsian di laman Facebooknya berkata, susulan keadaan cuaca buruk itu, mereka terhalang dari masuk ke kawasan Antartika, namun akan berada di kawasan kutub Selatan itu bila-bila masa apabila keadaan telah mengizinkan. 

“Kita menjangkakan akan terbang ke Antartika pada bila-bila masa apabila diumumkan boleh berbuat demikian, aktiviti hari ini sementara menunggu penerbangan masuk ke Antartika kita mendaki Mount Vinson untuk tiga jam bagi mengekalkan stamina.

“Tiga wanita yang menyertai ekspedisi ini juga turut mendalami teknik pemakaian (baju) yang bersesuaian dengan perubahan cuaca yang sekejap sejuk dan sekejap panas,’’ katanya.

Kumpulan itu akan menaiki ‘Aircraft Russian Illusion’ dari Puntas Arenas ke Antartika yang memakan masa kira-kira lima jam perjalanan.

Sharifah Mazlina berkata, ketika ini mereka mengisi masa terluang dengan memahirkan diri menggunakan sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) bagi memudahkan ekspedisi mereka menakluki kawasan kutub itu kelak.

Ekspedisi eksklusif  itu melibatkan anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33, dan ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31

Kesemua mereka diberi tanggungjawab misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004.

Pencarian kapsul yang ditanam sejak 14 tahun lalu di Kutub Selatan itu perlu dilakukan segera berikutan lokasi penanamannya berada berhampiran sebuah pusat penyelidikan Amerika Syarikat, selain dibimbangi memasuki kawasan berkenaan.

Dalam pada itu Mazlina turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan ekspedisi tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 

Post a Comment

0 Comments