KERAJAAN Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus melindungi Institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum dinegara ini.
Demikian janji dilafaz Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed ketika mempersembahkan ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, kerajaan juga komited untuk memulihkan semula negara dengan menangani isu rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa sebelum ini.
“Patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya semasa mempersembahkan ucapan tersebut.
Sementara itu tambah Perdana Menteri, Kerajaan menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar.
Bagi mengatasi keadaan itu, kerajaan jelasnya akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
Kerajaan juga jelas Dr Mahathir sedang berusaha memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat semakin berhasil.
Pada masa yang sama, jelasnya pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.
0 Comments