JWP tak akan lindungi pegawai salah guna kuasa, tegas Menteri Wilayah

JABATAN  Wilayah Persekutuan (JWP) tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kementeriannya yang terlibat dalam salah guna kuasa melindungi warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa  termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit.

"Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak, siapa sahaja kita akan ambil tindakan. Kita juga ada jawatankuasa atau unit khusus untuk melihat dari sudut disiplin dan sebagainya (sekiranya ada kakitangan) melanggar tata kelola dan tadbir urus yang baik," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Rabu.

Zaliha berkata begitu sebagai mengulas laporan bahawa SPRM akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menahan anggota penguat kuasa di PBT yang melindungi premis perniagaan warga asing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menurut laporan media berkata, risikan dijalankan selama lebih enam bulan mendedahkan pelbagai kegiatan haram di bandar-bandar besar ini dilindungi oleh pihak berkuasa.

Ia melibatkan perniagaan berskala kecil seperti lesen penjaja dan kedai-kedai yang kini dimonopoli oleh warga asing.

Ahmad Khusairi turut mendakwa ada penguat kuasa ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan ‘Lesen Ali Baba’..

Post a Comment

0 Comments