Kabinet setuju tubuh jawatankuasa khas tangani buli siber

JEMAAH MENTERI yang bermesyuarat pada Jumaat bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani isu buli siber di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).

Ia akan disokong pasukan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

"Penubuhan jawatankuasa khas dan pasukan khas itu amat penting kerana ia berupaya menggunakan semua kepakaran yang ada terkait perkara berkenaan, merentasi kementerian dan agensi.

"Kerana isu buli siber ini, (ditambah) dengan adanya platform-platform media sosial baharu, malah platform yang belum muncul, termasuk teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), kita perlu menggembleng segala kepakaran yang kita miliki termasuk daripada aspek teknikal untuk tanganinya," katanya ketika ditemui media selepas meninjau raptai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Sementara itu tegasnya, jemaah menteri berpandangan perlu ada tindakan tegas terhadap platform media sosial membabitkan kes buli siber.

"Pengendali tidak boleh lepas tangan sahaja dan perlu sama-sama bertanggungjawab untuk atasi isu buli siber ini.

"Jadi kita (jawatankuasa) akan meneliti perincian akta, lihat secara menyeluruh aspek perundangan dan (melakukan) pindaan (pada undang-undang) serta apa juga tindakan lain yang kita rasakan perlu untuk tangani isu buli siber ini,"  kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.
 

Post a Comment

0 Comments