Baca Qunut nazilah mohon kehancuran sesama Islam bukti ketaksuban, melampau

BACAAN qunut nazilah tidak harus digunakan melencong dari tujuan asalnya, tegas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

Dipetik laporan media beliau menegaskan, ulama membincangkan bahawa qunut itu dibacakan ke atas musuh Islam dalam keadaan bencana atau perang seperti yang sedang berlaku di Gaza.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan itu berkata, perbuatan terpesong Ahli Parlimen pembangkang membacakan qunut nazilah itu selepas penggantungan Ahli Parlimen Machang yang dipercayai ditujukan kepada wakil rakyat kerajaan perlu dipandang serius oleh masyarakat.

"Ketika doa qunut nazilah dibacakan di Parlimen selepas penggantungan Ahli Parlimen Machang, siapakah ditujukan doa itu? Adakah ditujukan sesama Muslim.

"Muslim lain musuh Islam?. Maka persoalan ini yang membawa kebimbangan," tegasnya.

Manakala Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti KEADILAN, Amidin Abdul Manan pula menegaskan, tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu yang menyamakan persaingan politik antara parti dengan perseteruan Rasulullah SAW dengan musyrikin Makkah adalah bukti ketabsuban sempit kepartian.

Pada Khamis, Ahli Parlimen pembangkang membuat bacaan qunut nazilah dipimpin Ahli Parlimen Jasin Zulkilfli Ismail selepas Dewan Rakyat menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Fayshal Wan Ahmad dari menghadiri sidang dewan selama enam bulan.

Wan Fasyal digantung setelah dianggap bersikap tidak profesional dan melanggar etika Parlimen apabila membangkitkan isu pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta menamakan seorang penjawat awam yang kononnya “dalang” mengancam kedaulatan negara hanya dengan bersandarkan surat layang yang kandungannya tidak disahkan.

Terdahulu pada Jumaat, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak tindakan melampau pihak yang membaca Qunut nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik sesama umat Islam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebarang bentuk ekstremis yang melampau seperti itu harus ditolak rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.

"Menggunakan Qunut nazilah mendoakan kehancuran lawan politik sesama umat Islam adalah tindakan melampau batas dan bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenar.

“Pada zaman Nabi Muhammad SAW, qunut nazilah dibaca pada situasi antaranya apabila sekumpulan sahabat Nabi dibunuh secara khianat di perigi Ma’una...Rasulullah membaca qunut nazilah selama sebulan untuk memohon Allah SWT membalas perbuatan itu,” katanya dalam sidang media pada Jumaat. .


Post a Comment

0 Comments