Sebar hasutan: polis tahan tiga lelaki


POLIS menahan tiga lelaki disyaki memuat naik kenyataan berbaur hasutan berhubung insiden amuk di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 29 hingga 42 tahun yang bekerja sebagai itu ditahan di Pulau Pinang dan Kedah.

Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata telefon bimbit kesemua mereka dirampas untuk disiasat.

"Permohonan reman akan dibuat hari ini dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengeluarkan amaran keras menahan mereka yang menularkan komen berbaur perkauman dan agama.

Terdahulu pada Isnin lalu, polis menembak mati seorang lelaki berusia 25 tahun setelah menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang dalam satu kes amukan.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana cedera parah di beberapa bahagian badan terutama kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera, tetapi berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, penyerang dipercayai mengalami kemurungan sejak beberapa bulan lalu dan tidak hadir bekerja selama seminggu, serta telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuatkuasa akhir bulan ini.

Namun banyak spekulasi telah direka dan dikongsikan ke laman sosial sehingga dijadikan isu perkauman. Timbul dakwaan kononnya mangsa tetak itu telah membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW sehingga lelaki tersebut berang.

Post a Comment

0 Comments