MUHAMMAD Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terbunuh ketika rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu mati disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali.
Demikian diputuskan Koroner Rofiah Mohamad ketika menyampaikan keputusan di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.
Tambah Rofiah, Adib telah diheret dan dipukul ketika rusuhan dan trauma tumpul pada dada yang membawa kepada kematian anggota bomba itu bukan akibat perbuatan sendiri mahupun disebabkan oleh kemalangan.
Beliau juga berkata, kegagalan pihak polis menjalankan tugas mereka menyumbang kepada insiden berkenaan.
![]() |
Mahkamah Koroner mendedahkan hasil Inkues |
Iklan
"Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.
"Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.
"(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing," jelasnya.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Inkues kematian Adib dijalankan selama 41 hari bermula 11 Februari lalu, seramai 30 saksi memberi keterangan dengan 137 eksibit dikemukakan.
Dengan berakhirnya inkues itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan kepada Peguam Negara dan polis untuk menjalankan siasatan serta melakukan pendakwaan.
0 Comments