PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa tiada sebarang campur tangan terhadap proses undang-undang melibatkan ahli Jemaah Menterinya yang terlibat kes mahkamah.
Beliau berkata begitu ketika menjawab soalan dari wakil rakyat pembangkang, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat sama ada pelantikan Jemaah Menteri akan mempengaruhi keputusan atau perbicaraan di mahkamah.
Tegas Anwar, beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti ditegakkan atas prinsip negara hukum.
“Hari ini ada Ahli Yang Berhormat (daripada pembangkang) yang didakwa (di mahkamah), adakah perlu letak jawatan semua kedudukan di dalam parti? Tentunya jawapannya belum ataupun tidak,”
“Saya tidak mahu menghukum sebelum proses mahkamah yang telus dan bebas, tindakan tidak boleh diambil berdasarkan pendakwaan sebelum penghakiman," kata beliau.
Sementara itu tambah Anwar, beliau akan terus bersikap tegas dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan pemunggahan kekayaan negara.
![]() |
Tiada kompromi, PM tak campur tangan |
"Saya arahkan ambil tindakan (jika ada kesalahan), saya tidak peduli dari parti mana (individu berkenaan) termasuklah daripada Keadilan (PKR) sendiri.
“Saya nak bawa rakyat faham bahawa negara tidak boleh selamat tanpa nilai, tatasusila dan akhlak. Kita boleh maju dari segi ekonomi tetapi rosak dari segi tatakelola, tadbir urus yang juga libat rasuah dan salah guna kuasa,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
0 Comments