PM arah bangun kaedah terbaik laksana subsidi bersasar

 


PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jabatan-jabatan kerajaan merangka serta membangun wahana atau kaedah bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.

Anwar berkata Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal, yang turut memanfaatkan golongan maha kaya dan konglomerat, ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata mengambil contoh subsidi elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna yang mana 50 peratus daripada subsidi untuk kemudahan itu didapati telah dinikmati oleh 10 peratus atau 1 juta pengguna yang terdiri daripada kumpulan konglomerat.

"(Justeru), jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana (saluran) yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan (dasar) ini," kata Anwar melalui satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) semalam.

Pada 27 November lalu, Anwar mengarahkan NACCOL mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.

Pada Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikannya semalam, sebanyak tiga kertas dibentangkan, mengupas isu, tantangan (cabaran) dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Laporan itu bertujuan mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya peserta industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.

Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika ini kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.

"Sektor penternakan negara sudah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

Subsidi mesti sampai ke golongan memerlukan


"Kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri ini untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat dan ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan," katanya.


Beliau juga berkata, ketika ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi kesan buruk.

Kerajaan jelasnya akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan di peringkat pengguna. Beberapa ikhtiar juga sudah disyorkan dan akan dibentangkan kepada Kabinet yang akan membuat keputusan hari ini.

Post a Comment

0 Comments