BN - HARAPAN tubuh kerajaan perpaduan di Melaka


LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) di Melaka kini menjadi sebahagian anggota kerajaan negeri.

Ia susulan penubuhan kerajaan perpaduan BN-HARAPAN di peringkat negeri itu, selaras perkembangan politik semasa di peringkat persekutuan.

Pengerusi HARAPAN Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dicapai susulan hasil pertemuan dengan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

“Ini dapat dilihat menerusi perubahan kedudukan susunan Adun dalam dewan serta pelantikan ketua pembangkang yang baharu. Secara tidak langsung semangat kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan turut dibawa di Melaka.

“Kerajaan ini adalah kerajaan perpaduan. Dalam tempoh yang singkat banyak penarikan yang kita buat, tapi saya yakin bahawa hasrat untuk memastikan kerajaan stabil dan melaksanakan pelbagai program yang berkaitan rakyat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, dengan perkembangan itu Melaka kini menyaksikan kerajaan negeri berada dalam keadaan lebih stabil dengan 26 daripada 28 Adun berada di blok kerajaan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 kerusi disandang BN, HARAPAN (lima) dan Perikatan Nasional (PN) (dua).

DUN Melaka kini diwakili 26 ADUN k'jaan
Selain Adly yang juga Adun Bukit Katil, empat lagi wakil HARAPAN adalah Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan Alex Seah Shoo Chin (Kesidang).

Dengan perkembangan di Dewan Undangan Negeri itu, Pengerusi PN Negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakob dilantik sebagai ketua pembangkang yang baharu.

Post a Comment

0 Comments