HAJAT bekas pemain dram kumpulan legenda Search, Allahyarham Yazit Ahmad yang mahu menunaikan umrah tidak kesampaiaan.
Menurut anaknya Shafiqa Nurlis, 29, Yazid membuat perancangan ke tanah suci bersamanya pada bulan lepas, namun menangguhkan hasrat itu berikutan tahap kesihatannya tidak menentu.
"Arwah ayah nak pergi umrah dengan saya. Tak apalah, selepas ini saya akan menunaikan impian arwah.
Sementara itu, Shafiqa menyifatkan arwah ayahnya merupakan seorang yang tabah dan sentiasa berfikiran positif.
"Jumaat lepas, ayah ada cakap 'adik, lepas ini papa tak nak masuk hospital dah', Arwah ada cakap dia nak rehat.
"Pada hari itu (Jumaat), saya sempat bawa dia pergi makan nasi ayam sebab dia teringin nak makan," katanya lagi.
Yazid disahkan meninggal kira-kira jam 11.53 pagi semalam selepas mesin bantuan oksigen dicabut.
Allahyarham sebelumnya dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan mengalami kegagalan jantung ketika dalam perjalanan.
Doktor pakar turut meminta ahli keluarga bersedia terhadap sebarang kemungkinan kerana dalam tiada oksigen dalam badan Yazid dan aliran darah ke otaknya sudah berhenti.
"Saya mewakili emak, memohon maaf kalau arwah pernah sakiti hati siapa-siapa. Segala hutang atau apa-apa yang ayah saya tak langsaikan lagi, berjumpalah dengan kami. Saya mohon maaf.
"Saya reda dengan ketentuan ALLAH. Sebenarnya saya belum bersedia kerana saya belum balas jasa arwah. Ayah ada berpesan supaya jaga emak dan abang," katanya ketika ditemui di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati hari ini.
Jenazah Allahyarham Yazit selamat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih dekat Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.