Laporan: Ahli Muda keluar parti kerana bertanding di Larkin


SEBILANGAN ahli Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bertindak meninggalkan parti itu susulan kecewa dengan keputusan parti itu bertanding di kerusi Larkin yang menyaksikan berlaku pertembungan dengan calon dari KEADILAN.

Naib Presidennya, Dr Thanussha Francis Xavier dipetik laporan media mengesahkan perkara itu dan menjelaskan, MUDA menghormati kehendak mereka yang mahu berhenti.

“Ya, kami menerima e-mel (daripada ahli yang mahu keluar). Kami menghormati pandangan mereka dan permintaan akan diproses dengan sewajarnya,” katanya, sebagaimana yang dilaporkan The Star pada Jumaat.
 
Tindakan MUDA meletakkan calon mereka di Larkin dikritik banyak pihak sebelum ini terutama dari Angkatan Muda KEADILAN.

Susulan itu ada gesaan supaya kerjasama dengan parti pimpinan bekas menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihentikan.

Tindakan MUDA di Larkin dikritik ramai
Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad baru-baru ini menegaskan bahawa partinya akan menyokong calon KEADILAN, Dr Zamil Najwah Arbain di kerusi itu berasaskan pendirian bahawa Amanah akan menyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) jika berlaku pertembungan dengan calon rakan kerjasama tidak rasmi gabungan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik yang juga dari KEADILAN, Mohd Najwan Halimi turut berkongsi tangkap layar tweet perbualannya dengan bekas ahli Muda yang mahu menyertai parti itu.

"Alhamdulillah, lebih ramai belia sudah mula sedar dan mereka mahu bersama KEADILAN," katanya di Twitter.
.

Post a Comment

0 Comments