Projek rintis tanam bawang tuai 2.3 tan hasil

MALAYSIA mula menuai bawang tempatan jenis BW1 melalui projek penanaman fasa pertamanya di Kampung Ladang Bikam di Perak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik per hektar.
 
“Untuk penuaian pertama ini ia melibatkan fasa satu dan hanya membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan metrik. Selepas itu, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga.

“Saya yakin projek rintis ini mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara sekali gus memenuhi keperluan rakyat Malaysia, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import,” katanya.

Arthur ditemui pemberita pada Majlis Tuaian Hasil Projek Rintis Tanaman Bawang Secara Besar-Besaran yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Christopher John Biai dan Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman.

Mengulas lanjut beliau memberitahu,  Perak merupakan antara enam negeri yang akan menjadi hab pengeluaran tanaman bawang tempatan jenis BW1 di Malaysia bagi kegunaan domestikselain Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan.

Usaha penanaman itu merupakan perancangan dan sasaran kita untuk mencapai kadar sara diri (SSL) bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030..

Post a Comment

0 Comments