PM gesa jemaah menteri kerap turun padang, tinjau isu rakyat

SEMUA Jemaah Menteri diminta supaya meluangkan lebih masa turun padang meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran bagi memastikan rakyat tidak terhimpit dengan isu kos sara hidup.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua menteri pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu.

"Perdana Menteri menegaskan supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang melihat sendiri keadaan termasuk dalam isu berkaitan harga barang atau kuantiti barangan di pasaran.

"Ini susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini)," kata beliau yang juga jurucakap kerajaan melalui satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di Putrajaya.

Sebelum ini tular klip video di media sosial seorang wanita menegur Anwar selepas beliau menghadiri satu program di Perlis.

Video berdurasi 22 saat itu menyaksikan wanita itu merungut kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.
 
Dalam pada itu menurut Fahmi, mesyuarat Kabinet turut mengambil maklum akan kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai di Istana Negara.

Jelasnya, jemaah Kabinet senada dengan titah Sultan Ibrahim yang mahukan penguatkuasaan ditegaskan dan diberikan keutamaan.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, beberapa pengumuman penting akan dibuat terutama bagi syarikat pemula niaga pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan berlangsung 22 hingga 23 April ini.

"Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri hari ini, ada penegasan mengenai betapa pentingnya program ini untuk mengetengahkan aspek bagi 'start-up' ataupun syarikat baharu dimulakan terutama bidang teknologi.

"Insya-Allah selepas Aidilfitri akan ada siri pengumuman ataupun promosi yang akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi," katanya.

Post a Comment

0 Comments