PM sedia landasan terbaik sebelum serah kuasa


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sedang menyediakan landasan terbaik bagi Malaysia mencapai wawasannya.

Bercakap di depan anggota Majlis Hubungan Luar (CFR) AS di New York semalam, Dr Mahathir memberi bayangan sedang mempersiap langkah-langkah sepatutnya dalam memastikan wawasan itu dapat dicapai dan disempurnakan penggantinya.

"Saya fikir kami boleh mencapai matlamat untuk menjadi negara maju menjelang 2030.

"Jadi sekarang pun saya tak boleh jamin sesiapa saja yang menggantikan saya akan melakukan (apa yang dirancang) dengan baik, tetapi apa yang kita boleh buat ialah menetapkan langkah-langkah yang perlu untuk berjaya," katanya.

Tambah Dr Mahathir, ketika beliau melepaskan jawatan kali pertama pada 2003, negara ditetapkan di landasan untuk mencapai matlamat yang dipersiapkan namun terganggu olah pemimpin selepasnya.

Sementara itu, ketika menyentuh kejayaan kerajaan baharu yang dianggotainya, Dr Mahathir berkata, mereka telah memperbetulkan situasi kewangan dan mengurangkan hutang ditanggung.

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ini juga katanya telah  membenteras amalan rasuah di Malaysia.

"Kami ada sebuah pertubuhan (SPRM) yang akan menangani rasuah di pelbagai peringkat.

"Apa yang berlaku sebelum ini ialah apabila perdana menteri korup, pemimpin bawahan juga korup. Maka kami perlu menggantikan mereka," jelasnya.

Bercakap mengenai bakal pengantinya, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Anwar telah memberikan pandangan yang betul mengenai isu kemiskinan di Malaysia.

Namun beliau meminta Anwar perlu memberi perhatian lebih khusus kepada isu kemiskinan di kalangan orang Melayu.

"Orang Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada kamu kalau kamu tidak memberi perhatian khas kepada mereka sebagai orang Melayu yang miskin.

"Anwar memberikan pandangan yang betul mengenai isu kemiskinan, tetapi kamu perlu menjaga mereka (orang Melayu)," tambahnya.

Presiden KEADILAN itu dijangka bakal mengambil alih pentadbiran negara tidak lama lagi.

Ia selari dengan janji dibuat Dr Mahathir untuk menyerahkan pucuk kepimpinan negara kepada Anwar sebagai penggantinya seperti dipersetujui Pakatan Harapan dalam konsensusnya.

Post a Comment

0 Comments