MOF sambut baik bank henti caj berat sebelah


 
KEPUTUSAN bank komersial menghentikan caj urus niaga berat sebelah yang dikenakan terhadap transaksi di kaunter dan mesin deposit tunai (CMD) disambut baik Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan, Menterinya Lim Guan Eng berkata kesediaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menerima nasihat MOF supaya mendengar pandangan orang ramai dan pengguna berkenaan isu itu wajar dipuji

“Penghentian caj tersebut pada 26 Sept menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan.

“ABM menunjukkan bahawa mereka tidak obses untuk mengaut keuntungan daripada yuran dan caj tersebut dengan memansuhkannya buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2017,” katanya.

Difahamkan, caj tersebut bukan dikenakan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN), sebeliknya diperkenalkan pada Disember 2017.

Ia bertujuan mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran namun ia membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada Internet untuk menjalankan perbankan dalam talian dan secara mudah alih.

Melalui pengenalan caj itu, pengguna transaksi tunai dan cek bagi pembayaran kad kredit dan bayaran balik pinjaman melalui kaunter sehingga RM2, dan sehingga 50 sen melalui mesin deposit tunai (CDM).

Semalam, ABM mengumumkan bank-bank kini menghentikan mengenakan fi untuk bayaran secara cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan di kaunter dan CDM.

Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank mengkritik langkah yang membenarkan bank-bank untuk mengenakan caj 50 sen bagi penggunaan mesin deposit cek dan RM2 untuk urus niaga di kaunter, mulai bulan depan.

 

Post a Comment

0 Comments