Milo bakal hadir dengan straw kertas


SEBAGAI langkah menjaga kelestarian alam sekitar, Nestle (Malaysia) Bhd bakal memulakan penggunaan penyedut minuman (straw) kertas bermula suka keempat tahun ini.

Buat masa ini, penyedut minuman kertas itu akan disertakan bersama pek minuman Milo UHT 125 mililiter (ml)

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, syarikat itu juga merancang untuk menggunakan straw kertas bagi varian lain Milo UHT secara berperingkat dengan matlamat menghentikan penggunaan lebih 200 juta straw plastik setahun.

Milo adalah minuman malt popular rakyat Malaysia
"Ini merupakan sumbangan terbaharu kami bagi ikrar Nestle untuk memastikan penggunaan pembungkusan yang 100 peratus boleh dikitar semula atau diguna semula menjelang 2025.

"Tindakan ini juga sebahagian daripada komitmen untuk terus meninjau penyelesaian secara agresif dalam usaha kami menerusi kempen Perangi Sisa Plastik yang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, langkah tersebut sekaligus menjadikannya syarikat minuman dan makanan pertama di Malaysia yang menggunakan straw kertas bagi pek minuman.

Sementara itu difahamkan, Nestle Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam kempen Perangi Sisa Plastik dan akan terus membangunkan penyelesaian yang bercirikan mesra alam.

Dua pertiga daripada keseluruhan pembungkusan plastiknya kini direka bagi tujuan kitar semula.

Pada masa sama, syarikat itu juga terus membangunkan serta menguji bahan dan sistem pembungkusan mesra alam dengan pihak seperti pusat pembangunan, pembekal, institusi penyelidikan dan syarikat pemula niaga.

Post a Comment

0 Comments