Jerebu: M'sia pindahkan pelajar di Riau dan Jambi


KERAJAAN
Malaysia mengambil langkah segera melindungi rakyatnya di kawasan bencana jerebu di Riau dan Jambi, Indonesia.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membuat keputusan bagi melaksana proses pemindahan pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan bencana tersebut.

Pemindahan itu susulan pengisytiharan Darurat Pencemaran Udara oleh kerajaan negeri itu bermula Isnin hingga 31 Oktober depan.

Sehingga Isnin, jarak penglihatan di kawasan tersebut adalah 500 meter dengan bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) 600.

Difahamkan, pada masa ini terdapat kira-kira 300 orang pelajar Malaysia di Provinsi Riau dan Jambi.

Berdasarkan laporan media, kira-kira 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia, manakala selebihnya akan dipindahkan ke Dewan Malaysia di Jakarta.

Wisma Putra berkata proses pemindahan itu akan dilaksanakan secara bersama oleh NADMA serta agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN),  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  dan Kementerian Pendidikan.

Susulan itu bilik operasi bagi memastikan kelancaran proses evakuasi tersebut telah diaktifkan iaitu di Wisma Putra di sini, yang boleh dihubungi menerusi talian 03-8887 4570 / 03-8887 4770 atau e-mel ke opsroom@kln.gov.my.

Bilik operasi Keduataan Besar Malaysia di Jakarta pula boleh dihubungi di talian +6221-5224947 dan +62813-80813036 (whatsapp) atau e-mel ke mwjakarta@kln.gov.my atau jkonsular@gmail.com.

Post a Comment

0 Comments