Pemecatan Annuar amaran untuk ahli Umno sokong Bersatu


PEMECATAN Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai satu amaran kepada ahli Umno yang dilihat terlalu selesa dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Felo Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun yang dipetik laporan FMT berkata, penyingkiran Ahli Parlimen Ketereh itu menunjukkan Umno tidak akan lagi bertoleransi dengan sikap ditunjukkan Bersatu kepada parti itu.
 
“Ini memberi isyarat kuat kepada pemimpin Umno yang terlalu akrab dengan Bersatu atau seolah mahu beralih arah, juga kepada pemimpin Bersatu yang lebih hiperaktif, yang berusaha keras serta menggunakan kuasa dominan mereka terhadap Umno dalam gabungan memerintah itu.

“Sekiranya PPBM tidak menghentikan sikap dominasinya, seperti ‘mengusik’ kedudukan kepemimpinan tertinggi Sabah, Umno kemungkinan akan terus melancarkan kejutan politik mereka,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tunku Mohar Mokhtar pula berkata, BN, di mana Umno merupakan komponen utama dalam gabungan itu seolah-olah bosan apabila tidak mendapat penghormatan sewajarnya dalam PN, sedangkan mereka mendominasi kerusi terbanyak dalam kerajaan itu.

“Ia mahu berkuasa dan tidak akan membiarkan Bersatu mendominasi,” katanya.

Umno tidak mahu didominasi Bersat


Bersatu tambah Tunku Mokhtar wajar bimbang dengan tindakan Umno itu, terutama kerana rundingan kerusi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) antara partinya dan Umno dilaporkan tidak berjalan dengan lancar.

 
Mengulas kedudukan Pas yang merupakan sekutu Bersatu dalam PN, beliau berkata parti itu tidak mampu membantu Bersatu memenangi Pilihan Raya akan datang selain di Kelantan dan Terengganu.


“Pas juga perlu bimbang. Umno sudah memberi isyarat, ia tidak senang dengan Pas yang tidak mengutamakan Muafakat Nasional (perjanjian tidak rasmi antara Umno dan PAS).

"Tanpa Umno, pengaruh PAS akan terhad kepada Kelantan, Terengganu dan mungkin juga Kedah,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua mereka berpandangan, apa yang berlaku antara Umno dan Bersatu sekarang merupakan isyarat kuat hubungan antara kedua-dua parti itu akan mencapai tahap tegang yang bakal menyaksikan kedua-duanya terpisah.

Post a Comment

0 Comments