Hampir 35 ribu penduduk dipindahkan, banjir makin teruk


SITUASI
Banjir yang melanda lima jajahan di Kelantan sejak Selalu lalu dilapor bertambah buruk.

Berbanding 2,142 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  petang semalam, jumlah itu meningkat kepada 4,990 mangsa setakat pagi tadi.

65 PPS dilapor turut dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa.

Berdasarkan maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, jajahan Jeli kekal merekodkan bilangan penduduk yang terjejas teruk iaitu seramai 1,700 mangsa setakat jam 8 pagi.

Kuala Krai menjadi jajahan kedua teruk terjejas di negeri ini apabila seramai 1,455 mangsa berada di 28 PPS, diikuti Gua Musang seramai 785 mangsa, Pasir Mas (605) dan Tanah Merah (445).

Bacaan paras air sungai di negeri ini pula menunjukkan trend menaik dan melepasi paras bahaya.

Berdasarkan laporan, sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatatkan bacaan 60.13 meter , Lebir, Tualang (37.12 meter), Tangga Krai (28.5 meter), Tambatan Di Raja (5 meter), Sungai Golok di Jenob (23.52 meter) dan Rantau Panjang (10.62 meter).

Sementara itu di Pahang,  jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).

Portal berkenaan turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Maran, Pekan, Jerantut,Temerloh dan Kuantan sudah telah melepasi tahap bahaya.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,243 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 910 mangsa pada 3 petang semalam.

 Situasi di Pantai Timur makin membimbangkan
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan  ketika ini terdapat 39 PPS beroperasi dengan daerah paling teruk terjejas ialah Kemaman melibatkan seramai 4,074 mangsa diikuti Dungun (849), Hulu Terengganu (219), Besut (94) dan Setiu (tujuh).

Tujuh sungai di lima daerah iaitu Sungai Kemaman di Air Putih, Sungai Tebak di Kampung Tebak, Sungai Kuala Ping, Sungai Berang di Menerong, Sungai Besut, Sungai Dungun di Pasir Raja dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu telah melepasi paras bahaya.

Post a Comment

0 Comments