Batal HSR: PN dilihat cenderung membazir dana awam


KEPUTUSAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura disifatkan sebagai memalukan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu  menunjukkan kerajaan dipimpin Muhyiddin Yassin itu  tidak faham dengan kepentingan projek tersebut.

Ia turut memberi gambaran ketidakcekapan ekonomi oleh pihak yang diberi kuasa untuk pembangunan negara terutama apabila negara terpaksa membelanjakan ratusan ringgit dana awam bagi membayar pampasan kepada Singapura.
 
“Kita seolah-olah sudah biasa membayar pampasan kepada Singapura. Pada tahun 2006, negara membayar RM270 juta kepada negara jiran kerana pembatalan 'jambatan bengkok' di tambak yang sekali lagi projek ditamatkan oleh Malaysia.

“Lupakan usaha dan perbelanjaan bertahun yang dihabiskan untuk merundingkan perjanjian rentas sempadan ini. Siri tindakan penamatan perjanjian ini memperlihatkan sikap yang memalukan dalam pengurusan dana negara kita oleh kepemimpinan pemerintah kita selama tempoh tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Katanya, pembatalan HSR ke Singapura jelas menunjukkan bahawa PN lebih mementingkan diri. PN dilihat lebih bersedia untuk membazirkan wang bagi meneroka pembinaan HSR domestik yang berakhir di Johor Bahru.

“Dengan adanya landasan kereta api yang sudah ada oleh KTM, rancangan HSR baru ini akan menjadi gajah putih yang lain, yang menjadi bukti kepada kerajaan ini cenderung membazirkan dana awam.

“Sistem HSR yang berkesan dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelaburan langsung asing yang menarik yang kita perlukan dan mewujudkan kedudukan yang lebih baik untuk negara kita yang pada masa ini sangat penting,” kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

 Pembatalan HSR rugikan negara


Pentadbiran Muhyiddin dikirik hebat pembangkang dan pemimpin Umno susulan pembatalan projek yang dijangka bakal melonjakkan ekonomi negeri Johor itu.


Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir sebelum ini menyatakan rasa kecewa kerana wang pembayar cukai dibazirkan bagi membayar pampasan kepada republik tersebut gara-gara pembatalan yang merugikan itu.


Post a Comment

0 Comments