Covid-19: bekas Timbalan Menteri cadang tindakan segera


BEKAS Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Bon Chye mencadangkan tiga langkah segera bagi memastikan penularan Covid-19 menjadi semakin tidak terkawal

Melalui satu kenyataan, Ahli parlimen Gopeng dari KEADILAN itu berkata, sistem jagaan kesihatan sektor awam kini berada di tahap genting kerana tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Dengan jangkaan kes harian akan melepasi angka 3,000 sehari sebelum pertengahan Januari ini, beliau bimbang  pasukan kesihatan awam tidak akan lagi mampu untuk mengesan, menguji dan mengasingkan kontak rapat yang begitu ramai.

Justeru langkah cadangan pertama dikemukakannya ialah sasaran supaya setiap kontak rapat pesakit Covid-19 dapat dikesan, diuji dan diasingkan dalam tempoh 48 jam dapat ditetapkan.

“Ini akan menyekat penularan virus seterusnya dan mengurangkan jumlah kes harian dan kebolehjangkitan atau R0. Ini boleh dilakukan melalui penambahan 10,000 anggota tambahan (terdiri dari anak muda) dalam kesihatan awam serta merta untuk pengesanan kontak.

“Satu rangkaian pengesanan kontak boleh ditubuhkan dengan kerjasama pemimpin masyarakat seperti ketua-ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya,” katanya .

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Perintah Kawalan pergerakan Beryarat (PKPB) gagal menurunkan kadar kebolehjangkitan (R0) kepada 0.5 peratus seperti diharapkan, malah kadar itu kini meningkat kepada 1.2 peratus.

Beliau sebelum ini turut menyatakan kebimbangan bahawa pusat kuarantin tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Sebagai rekod, semalam negara merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 2,593 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 125,438.

Sementara itu, dalam saranannya, Boon Chey mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikawasan tertentu dikuatkuasakan semalam 2 minggu.

Ia jelasnya sebagai ‘circuit breaker’ di kawasan di mana jangkitan komuniti berlaku dan tidak terkawal.

 Penularan Covid-19 semakin membimbangkan


“Bagi pemberian vaksin pula, ia perlu diberikan secara percuma dan sukarela kepada kumpulan sasar sahaja seperti mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mereka yang berisiko komplikasi apabila dijangkiti.


“Ini termasuk pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penguat kuasa seperti polis, tentera, bomba, petugas penjara dan pusat tahanan serta pusat jagaan, guru, warga emas dan mereka yang menghidapi penyakit kronik,” katanya lagi.

Boon Chye berkata, pemberian vaksin oleh doktor swasta pula perlulah diberikan mengikut permintaan yang diterima oleh mereka.

Sementara itu, beliau berkata, penggunaan kaedah imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ bagi membendung penularan Covid-19 pada peringkat sekarang adalah satu langkah yang tidak waras dan tidak praktikal.



 

Post a Comment

0 Comments