GABUNGAN parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menzahirkan rasa kesal dengan sikap pilih kasih kerajaan persekutuan diketuai Muhyiddin Yassin yang tidak mengundang Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri gabungan tersebut ke mesyuarat bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri semalam.
Melalui satu kenyataan oleh Majlis Setiausaha HARAPAN , mereka menegaskan sekiranya ia disebabkan negeri itu ditadbir oleh pembangkang yang tidak sehaluan dari sudut politik dengan kerajaan Persekutuan, maka ia merupakan tindakan kepartian sempit yang merugikan rakyat.
“HARAPANmerakamkan rasa kesal di atas tindakan Putrajaya tidak menjemput menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ini.
"Difahamkan bahawa Menteri-Menteri Besar daripada Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Sabah dan Pulau Pinang tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas itu.
"Umum sedia maklum bahawa kelima-lima negeri ini merangkumi hampir 40 peratus seluruh penduduk di Malaysia dan sejumlah besar kes Covid-19 ini turut berlaku di negeri-negeri ini," kata gabungan parti politik itu.
Menurut kenyataan itu, usaha kawalan wabak Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara ini pasti akan gagal.
"Oleh itu, Majlis Setiausaha PH menggesa Putrajaya untuk segera memanggil pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri ini demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri-negeri tersebut," tegas mereka.
Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri selepas kemelut politik negara baru-baru ini memuat naik beberapa keping gambar di Facebooknya tentang mesyuarat khas berkenaan.
Pada awalnya, ia mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang meluahkan rasa duka cita kerana tidak dijemput, sedangkan katanya, Selangor merupakan negeri paling terkesan dengan wabak Covid-19.
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir turut membalas tweet Amirudin: “Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali kemudian tampil memohon maaf terhadap beberapa ketua negeri yang tidak dijemput ke mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin.
0 Comments