Gesa hadkan pembelian barang keperluan


PENTADBIRAN Muhyiddin Yasin digesa mempertimbangkan langkah mengehadkan pembelian barangan keperluan asas pengguna.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan berkata, langkah mengehadkan pembelian barangan keperluan asas di pasaraya dan kedai runcit semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan wajar bagi menjamin kuantiti barang keperluan mencukupi bagi semua yang memerlukan, sekali gus menghalang pembelian panik.

"Pasaraya boleh mengenakan had pembelian, seperti ketika kempen jualan murah yang menghadkan pembelian sesuatu produk atau kerajaan boleh menguatkuasakan had pembelian dengan kuasa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata Majlis itu dalam satu kenyataan.

Tambah mereka, gesaan itu dibuat susulan timbul kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat Malaysia hari ini mengenai bekalan barangan asas itu susulan perintah kawalan pergerakan yang dikenakan.

Oleh demikian tegas mereka, adalah wajar bagi kerajaan untuk tidak berlengah dan segera melaksanakan catuan had pembelian barangan keperluan asas, demi menjamin keselamatan makanan bagi semua.

Sebelum ini media melaporkan tindakan pembelian panik oleh rakyat susulan  kebimbangan bahawa kerajaan akan mengeluarkan perintah berkurung untuk membasmi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Para pakar memberi amaran mengenai pembelian panik boleh membawa kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Post a Comment

0 Comments