SERAMAI 45 individu mengambil risiko menjadi sukarela dalam ujian pertama vaksin Covid-19 di Seattle, Amerika Syarikat.
Memetik laporan disiarkan agensi berita antarabangsa, ujian itu membabitkan individu sihat berusia antara 18 hingga 55 tahun dan memakan masa selama enam minggu.
“Sukarelawan pertama menerima vaksin penyelidikan hari ini (semalam),” kata Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH) dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun difahamkan, ia akan memakan tempoh antara 12 hingga 18 bulan bagi membuktikan ia berfungsi dan memastikan tiada sebarang kesan sampingan sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan untuk ujian berskala lebih besar.
Vaksin dinamakan mRNA-1273 itu dibangunkan saintis di NIH dengan kerjasama makmal bioteknologi, Moderna yang berpusat di Cambridge, Massachusetts.
Pembiayaan vaksin itu ditanggung sepenuhnya Gabungan Inovasi Kesedaran Jangkitan (CEPI) yang berpusat di Oslo, Norway.
Sebelum ini, Menteri Luar Jerman Heiko Maas menegaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin Covid-19 oleh firma bioteknologi Jerman bukan untuk dijual, sebaliknya akan diguna bagi melindungi penduduk dunia.
Ia berikutan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu negaranya membeli vaksin itu, sekali gus memiliki akses eksklusif.
“Saintis berusaha mencari vaksin untuk melawan Covid-19 yang kini sudah membunuh hampir 6,000 orang di seluruh dunia. Ia menyebabkan jutaan penduduk diletakkan di bawah perintah berkurung.
“Penyelidik Jerman memainkan peranan penting dalam R&D vaksin dan kami tidak boleh membenarkan orang lain membolot hasil yang eksklusif ini,” katanya.
0 Comments