KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas penumpang dan tren bermula 8.30 pagi ini (Rabu, 18 Mac) susulan penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Kamarulzaman Zainal dalam laporan Bernama berkata hanya bukan warganegara Malaysia dibenarkan menaiki tren Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) ke Stesen Woodlands, Singapura.
Manakala, di Stesen Woodlands, hanya rakyat Malaysia yang dibenarkan menaiki tren berkenaan untuk ke JBS.
"Bagi tren ulang-alik di antara sempadan Malaysia dan Thailand melibatkan perkhidmatan State Railway of Thailand pula digantung sepenuhnya buat sementara.
"Bagaimanapun, perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link masih beroperasi seperti biasa," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Kamarulzaman turut berkata penumpang yang ingin membuat pindaan atau pembatalan tiket sepanjang tempoh perintah itu diminta merujuk kepada stesen-stesen berhampiran.
Pemulangan tambang pula akan dibuat mengikut garis panduan telah ditetapkan iaitu 14 hari selepas tarikh pembatalan tiket.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan operasi tren KTMB dinasihatkan melayari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan di 03-2267 1200.
0 Comments