ADUN Pakatan Harapan tolak cubaan tumbang k'jaan Sabah



TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah mengambil pendirian tidak mahu terlibat dalam apa-apa usaha menjatuhkan kerajaan negeri.

Pendirian itu dinyatakan mereka susulan khabar angin tersebar semalam bahawa ada usaha untuk menumbangkan kerajaan dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.
 
Tujuh ADUN  tersebut Christina Liew (Api-Api), Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam) dalam satu kenyataan bersama menegaskan tidak pernah memberikan akuan bersumpah (SD) dan sokongan kepada mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Justeru mereka membuat ketetapan menyokong Hajiji secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang.

“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah bagi menyokong mana-mana pihak selepas 2020.

“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada Nov 2022 yang lepas,” kata kenyataan itu.

Spekulasi bermula malam semalam selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengeluarkan kenyataan mengenai kesediaan membuktikan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

ADUN HARAPAN mahu kestabilan politik negeri
Kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun itu menyebut tindakan berkenaan berikutan dakwaan pihak tertentu memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
 
Pada Nov lalu, HARAPAN Sabah menyatakan yang mereka akan memberi sokongan penuh kepada Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri hingga habis tempoh penggal DUN.



 

Post a Comment

0 Comments