Jalan Batang Kali - Genting Highlands dibuka semula hari ini


LALUAN Batang Kali – Genting Highlands yang ditutup sejak 16 Disember lepas ekoran tragedi tanah runtuh akan dibuka semula pada 5 petang ini dengan kawalan pihak berkuasa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan laluan sementara akan dibuka satu lorong sahaja.

Ia dibuka kepada kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter) dan terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan.

“Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan,” menurut kenyataan itu.

JKR dalam kenyataan sama turut mengingatkaan pengguna laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh.

Dalam tragedi Disember lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm yang terletak di Gohtong Jaya, Batang Kali itu.

31 nyawa disahkan terkorban, manakala 61 yang lain selamat dalam kejadian itu.

Susulan kejadian itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman mengumumkan penutupan jalan itu selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Bagaimanapun keputusan penutupan jalan itu meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di kawasan tanah tinggi itu.

Bagi memudahkan pekerja dan peniaga
Menteri Besar Selangor, susulan rungutan orang ramai itu telah mengadakan perjumpaannya dan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi mencari penyelesaiaan bagaimana jalan itu dapat digunakan sementara oleh pekerja dan peniaga terbabit.

BACA: MB jumpa JKR, bincang untuk kenderaan ringan

Sementara itu, JKR dalam kenyataan semalam menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam – Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur – Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.

Orang awam boleh menghubungi JKR Hulu Selangor ditalian 03-60641046, 03-60641146, 03-60641058 dan 03-60641073 untuk sebarang pertanyaan.

 

Post a Comment

0 Comments