Laluan Batang Kali-Genting akan dibuka untuk kenderaan ringan



LALUAN Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor akan dilebarkan kata Menteri Besar Selangor.

Datuk Seri Amirudin Shari  pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Shah Alam pada Sabtu turut memaklumkan laluan berkenaan akan dibuka semula pada awal atau pertengahan Januari depan.

Pembukaan jalan sehala itu jelasnya untuk memudahkan kira-kira 4,000 hingga 5,000 penduduk  Batang Kali terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands.

“Laluan ini hanya satu jalan sahaja. Kita akan berhentikan kenderaan dari atas dan bagi arah bawah lalu. Begitu juga kalau atas sedang lalu, arah bawah dihentikan,”

“Kita akan membesarkan laluan yang tidak terkena runtuhan untuk bolehkan kenderaan ringan melintas. Kawasan sudah ditambak batu dan akan dipadatkan.

“Apabila sudah boleh lalu, kita akan umumkan. Mungkin minggu pertama Januari sebab kita nak selaraskan dan susun dengan pasukan keselamatan,” katanya.

Keputusan itu jelasnya dicapai hasil perjumpaannya dan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor pada Khamis.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu, yang terletak di Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

31 nyawa disahkan terkorban, manakala 61 yang lain selamat dalam kejadian itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan itu akan ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.


Laluan sedia ada akan diperluas
Berikutan penutupan itu, pengguna digesa menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).


Bagaimanapun keputusan penutupan jalan itu meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di kawasan tanah tinggi itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun kemudian berkata laluan tersebut akan dibuka kepada pengguna motosikal dalam seminggu.

Post a Comment

0 Comments