BEBERAPA acara sukan yang dirancang pagi ini terpaksa di batalkan susulan jerebu teruk.
Antara yang dibatalkan ialah program FitMalaysia Edisi Melaka yang dijadualkan berlangsung padi ini di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir Melaka.
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat bagi bagi kepentingan peserta terlibat.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar, iaitu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, sebarang aktiviti fizikal di kawasan terbuka adalah tidak digalakkan,” kata kenyataan yang dikeluar semalam.
Berdasarkan laporan Bandaraya Melaka mencatatkan IPU sekitar 120 pada petang Jumaat (13 September), ia akan berada pada paras tidak sihat untuk aktiviti luar pada Sabtu.
“Program FitMalaysia sering mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutamanya kanak-kanak. Oleh itu pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan dengan masalah kesihatan,” tambah kenyataan itu.
Susulan itu, KBS mengucapkan terima kasih kepada lebih 12,000 orang peserta yang telah mendaftar untuk menyertai program tersebut.
Sementara itu, Acara larian tahunan, BHPetrol Orange Run 2019 yang sepatutnya diadakan pada esok telah ditunda ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
BHPetrol dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu berikutan masalah jerebu semakin serius melanda negara.
"Melihat kepada situasi semasa jerebu ketika ini, langkah dilakukan BHPetrol adalah dalam usaha melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Justeru, satu tarikh baharu akan diumum tidak lama lagi," tegas mereka.
0 Comments