Suami Isteri maut kemalangan konvoi motosikal


NIAT
sepasang suami isteri menghadiri acara pemotoran Desaru International Bike Week (DIBW) di Johor tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan malam tadi.

Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isterinya, Salimah Mohd Shafei, 40, dari Kuala Terengganu sebelumnya dalam perjalanan konvoi bersama 100 motosikal berkuasa tinggi sebelum terbabit kemalangan di Jemaluang berhampiran bandar Mersing.

Seorang peserta konvoi yang hanya mahu dikenali sebagai Iwan, 30-an berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah Perodua Myvi terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa motosikal termasuk kawasaki Z800 ditunggangi pasangan suami isteri itu.

“Akibat kejadian ini, kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi peserta konvoi patah kaki dan tangan,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Iwan berkata, pasangan terbabit bersama 19 peserta konvoi lain  sebelum berpecah untuk singgah di Kuantan, Pahang bagi membaiki motosikal seorang rakan mereka yang mengalami kerosakan.

Difahamkan jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

“Jenazah pasangan suami isteri ini akan dibawa pulang ke Terengganu sebaik selesai bedah siasat,” kata Iwan menurut laporan itu lagi.


Selain meminati dunia pemotoran, pasangan suami isteri tersebut juga difahamkan meminati sukan berbasikal dan sering meluangkan masa melakukan aktiviti kayuhan bersama.

Post a Comment

0 Comments