Warga Bangladesh ketua sindiket sekitar KL


KERAJAAN Persekutuan dilihat mula bertindak lebih tegas dalam usaha mengatasi kebanjiran warga asing di negara ini.

Beberapa hari lalu,  kita dikejutkan dengan berita penahanan 20 individu rakyat tempatan yang dipercayai terbabit aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri yang dijual kepada pendatang asing.

Media dalam laporannya mendakwa aktiviti itu diketuai seorang pegawai kanan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jika benar, bukankah itu satu pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan.

Dokumen yang dijumpai pada suspek tersebut
Sindiket pemalsuan dokumen bukan perkara baharu, rangkaiannya dipercayai telah menjalar luas dinegara ini.

Sikap tegas kerajaan untuk menangani isu ini sudah selayaknya diberi pujian.

Terbahru, Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pemalsuan pasport dan pas kerja warga asing di sekitar Kuala Lumpur.  Sindiket ini diketuai warga Bangladesh.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka sebelumnya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dalam satu operasi di Brickfields semalam.

Pemeriksaan dilakukan menjumpai satu sampul surat berisi empat pasport Bangladesh, enam keping pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan enam kad pengenalan diri warga asing (i-Kad).

"Kesemua dokumen dipercayai palsu. Hasil siasatan mendedahkan, dalang sebenar sindiket ini merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang dikenali sebagai 'Mama Bangla'.

Peralatan memalsukan dokumen yang ditemui
"Sindiket dipercayai beroperasi sejak tahun 2017 di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Siasatan juga mendapati 'Mama Bangla' mengenakan bayaran RM200 untuk senaskhah pasport palsu, sekeping pelekat PLKS palsu (RM200) dan RM50 untuk i-Kad dan Kad CIDB palsu.

Susulan penahanan pertama itu, Imigresen menjalankan satu lagi operasi  bagi mengumpan 'Mama Bangla'.

Individu itu yang terpedaya akhirnya berjaya ditahan di sekitar Jalan Munshi. Dua pasport Bangladesh turut ditemui berada dalam simpanan warga asing tersebut.

BACA:
Polis buru saki baki sindiket palsukan MyKad
"Siasatan ke atasnya membawa kepada serbuan ke sebuah kondominium di Jalan Putramas, Kuala Lumpur. Kita menjumpai 17 pasport warganegara asing dan enam keping pelekat PLKS palsu.

"Turut dijumpai peralatan membuat dokumen palsu seperti komputer, mesin pencetak dan alat pengimbas," tambahnya Khairul Dzaimee.

Difahamkan, suspek kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Mereka bakal didakwa kerana melanggar Akta Imigresen.

Post a Comment

0 Comments