BEBERAPA muka baharu disenaraikan dalam skuad 23 pemain ke pusingan kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Ketua jurulatih skuad Bawah 15 (B-15) negara, P. Maniam telah menyenaraikan beberapa muka baharu.
Mereka antaranya ialah penjaga gol skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-15, Muhammad Aizul Hakim Mohd Zabni; penyerang AMD B-14, Muhammad Akid Mohd Zamri; selain pemain tengah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Syafiq Haikal Bahtiar.
Menurut laporan Awani, kesemua mereka merupakan pemain yang tidak beraksi sewaktu Malaysia muncul juara, Kejuaraan B-15 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) awal bulan lepas.
Maniam sementara itu turut menyenaraikan 19 pemain AMD B-15, untuk memperkuatkan skuad muda negara itu bagi menghadapi kejohanan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Laos hujung bulan ini.
Untuk rekod, skuad B-15 negara meraih dua kemenangan selesa iaitu 10-0 dan 4-0 ke atas skuad B-15 Mongolia pada dua aksi pemanas di Shah Alam pada minggu lepas.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J, akan membuka kempen kelayakan menentang Kemboja pada 18 Sept, Laos (20 Sept), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Jepun pada 22 Sept ini.
Berdasarkan format kejohanan, 11 pasukan terbaik dari Kumpulan A-K selain empat pasukan kedua terbaik, layak ke pusingan akhir.
AFC, bagaimanapun masih belum mengumumkan tuan rumah pusingan akhir kejohanan berkenaan.