Resolusi PBB: Malaysia teguh sokong hak Palestin untuk negara merdeka

MALAYSIA tetap berpegang teguh pada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak memperoleh sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) melalui satu kenyataan pada Khamis berkata, Malaysia merupakan antara negara yang menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam Sesi Tergempar Khas ke-10 pada 17 September.

Resolusi itu menuntut agar Israel menamatkan "kehadiran yang menyalahi undang-undang" di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, selaras keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024.

"Malaysia bersama 123 Negara Anggota PBB telah mengundi untuk menyokong Resolusi UNGA bertajuk 'Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kesan perundangan daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), termasuk Baitulmaqdis Timur, serta ketidaksahan kehadiran berterusan Israel di OPT,'" jelas kenyataan tersebut.

Wisma Putra menegaskan, sokongan kepada resolusi itu memperkukuh pendirian Malaysia dalam isu konflik Palestin-Israel yang berlarutan sekian lama.

Terdahulu pada Rabu, PBB meluluskan resolusi yang secara rasmi menuntut Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan yang turut menyarankan sekatan dikenakan sekiranya Israel tidak mematuhi tuntutan tersebut.

Selain 124 negara anggota menyokong, 14 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) bersama beberapa negara lain seperti Hungary, Republik Czech menentang dan 43 negara  mengundi untuk berkecuali.

Resolusi yang pertama kali diperkenalkan oleh delegasi Palestin di bawah hak baharu yang diperoleh tahun ini menuntut penarikan keluar tentera Israel dari wilayah Palestin, penghentian pembinaan penempatan baharu, pemulangan semula tanah dan harta yang telah dirampas, serta kemungkinan kepulangan rakyat Palestin yang telah dipindahkan.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi ini dengan segera dan sepenuhnya, demi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri, mengekalkan kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta mencapai pembangunan sosioekonomi yang mampan," kata Wisma Putra yang turut mengalu-alukan keputusan tersebut.

Sebagai rekod, ICJ telah mengesahkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin membuktikan kepimpinan rejim itu adalah penjenayah perang yang perlu ditangkap dan diadili.

Presiden ICJ, Nawaf Salam menegaskan, aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa selain dianggap pengilhakan de facto, yang melanggar hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Post a Comment

0 Comments