PM gesa Kerajaan Negeri jayakan hasrat modenkan pentadbiran tanah

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-81 pada Khamis.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya beliau berkata , pada mesyuarat itu beliau menggesa Kerajaan Negeri untuk turut sama menjayakan hasrat Kerajaan Persekutuan memodenkan pentadbiran tanah.

Langkah itu jelasnya menjadi kayu ukur dalam penilaian Bank Dunia serta meningkatkan kecekapan tadbir urus demi kepuasan rakyat dan pelabur.

"Mesyuarat itu merupakan platform untuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri merunding dasar berkaitan pentadbiran tanah dan sebagai pemangkin kepada konsep Kerajaan Madani dalam mengupas keperluan rakyat dari aspek pertumbuhan ekonomi serta tatakelola yang berkesan," katanya.

Sementara itu Anwar memaklumkan telah meminta  persefahaman dan pemuafakatan Kerajaan Negeri untuk mengimbangi antara keutamaan negeri dengan dasar di peringkat Persekutuan supaya ia selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia di medan antarabangsa.

Ia antaranya iltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan kawasan berhutan sebagai langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangi kesan perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti

 "Selain itu, saya turut tekankan kepentingan melipat gandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara.

"Alhamdulillah, mesyuarat menerima baik segala pandangan amalan terbaik yang turut dikongsi oleh kerajaan negeri," katanya melalui hantaran tersebut.

 

Post a Comment

0 Comments