YANG DIPERTUAN BESAR Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ahad bertitah supaya masyarakat menolak elemen negatif yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian
Baginda bertitah rakyat perlu berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan khususnya di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan moral dan sosial mengikut nilai agama dapat terus diperkuatkan.
“Oleh itu, beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran dalam kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.
“Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti.
Seramai 473 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai penerima apabila dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu Baginda Tuanku Muhriz bertitah agar rakyat bersedia menghadapi sebarang perubahan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia dan yakin penduduk di negeri ini cekal serta bersemangat mendepani cabaran mendatang.
“Beta disembah maklum bahawa kerajaan beta telah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan kerajaan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaharu selain merencana program tertentu bertujuan membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini,” titah baginda.
Selain itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan institusi awam untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian dan pengurusan kerajaan dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.
Dalam titah itu juga, Tuanku Muhriz turut menzahirkan sokongan perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin serta menyeru rakyat bersama-sama memberi sokongan termasuk menyumbang kepada Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan.
0 Comments