Pemilihan KEADILAN: Anwar gesa bersaing dalam suasana persahabatan


PROGRAM ‘Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar?’ antara dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak wajar dianggap sebagai debat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dipetik berkata begitu sebagai mengulas program 90 minit yang dijadualkan bakal disiarkan di semua platform organisasi berita Sinar hari ini membabitkan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail dan Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang bakal merebut jawatan kedua terpenting parti itu.

Sementara itu jelas Anwar, istilah debat tidak sesuai digunakan kerana kedua mereka mendukung ideologi parti yang sama.

Justeru jelasnya, pentas tersebut perlu menjadi medan perbincangan antara kedua-dua calon parti berkenaan demi kebaikan bersama.

"Istilah debat ini lebih sesuai digunakan untuk program antara saya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti kerana kami mempunyai pola pemikiran dan dasar berbeza.

"Tapi dalam konteks ini (program Berani Semuka) yang diadakan di antara dua calon dalam parti sama, ia lebih kepada perbincangan tentang penekanan dan strategi baharu yang akan digunakan dalam satu wadah," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Sebagai rekod pemilihan parti KEADILAN bagi sesi 2022 bakal diadakan dari 13 hingga 18 Mei ini.

Pertembungan Rafizi dan Saifuddin bagi jawatan Timbalan Presiden menjadi perhatian ramai apabila kedua-dua mereka dilihat sebagai tokoh besar dalam parti itu.

Kedua-dua mereka turut mempunyai kelebihan masing-masing dengan Saifuddin dilihat mempunyai tempat di hati orang Melayu semi bandar dan luar bandar. Manakala Rafizi di kalangan urban voters.

Anwar dikelilingi pemimpin hebat
Sementara itu menjelang pemilihan itu Anwar turut menasihatkan para calon yang terlibat dalam pemilihan untuk membaca tata kelola yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPP)."

Beliau turut menasihati semua calon menjaga suasana persahabatan persaingan, tidak terpanggil oleh mana-mana pihak yang sengaja mengapi-apikan keadaan seolah-olah pemilihan tersebut satu pertarungan antara sesama calon parti.

“Perbincangan juga mesti diadakan dalam suasana persahabatan, mengelakkan dari meningkatkan ‘suhu’ panas yang lebih tajam,” katanya.

Post a Comment

0 Comments