Maszlee tuntut permohonan maaf, ancam saman Asyraf Wajdi


BEKAS
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menuntut Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi menarik balik kenyataan berhubung buku teks sejarah Tingkatan 4.

Ia susulan kenyataan Asyraf kononnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah memanipulasi sejarah dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan melalui petikan dalam buku teks tersebut.

Maszlee yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, sekiranya tiada permohonan maaf secara terbuka dan penarikan balik kenyataan dibuat itu, beliau akan memfailkan kes saman fitnah.

“Terima kasih Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya berikan masa sampai esok pagi untuk Asyraf Wajdi memohon maaf secara terbuka dan menarik semula kenyataan beliau,” katanya di Twitternya.

"Saya telah mendapat nasihat daripada peguam saya dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi di atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan," katanya pada satu hantaran lain di media sosial.

Tuntutan itu menyusul pencerahan oleh KPM bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada bulan April 2018, ketika Malaysia masih berada di bawah pemerintahan Umno-BN.

Terdahulu, KPM mempertahankan ketepatan fakta buku teks sejarah Tingkatan 4, selepas Asyraf baru-baru ini mendakwa ada unsur fakta dimanipulasikan.

Kementerian menegaskan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 mematuhi “semua proses penerbitan” bagi menjamin kualiti buku, “termasuk ketepatan fakta”.

Buku teks tersebut telah diteliti, disemak dan diperakui oleh panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018, yang terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.

KPM turut menjelaskan penerbitan buku teks itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 yang kandunganya berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).

 Maszlee tuntut permohonan maaf
Asyraf sebelum ini mahu Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4.

Sementara itu, Maszlee berkata rakyat Malaysia muak dengan budaya politik sebegini yang boleh menggugat perpaduan kaum.

"Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.

"Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan memfitnah sesuka hati.

"Saya harap tindakan ini menyedarkan semua pihak, tidak kira dari parti mana, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan, apatah lagi ia melibatkan pendidikan negara, pendidikan anak-anak kita," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments