MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) komited dengan pendirian asal mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
Pendirian itu diputuskan Majlis Presiden melalui satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Tidak sekadar Anwar dinamakan semula calon pilihan untuk gabungan itu, tokoh reformasi itu juga diberi mandat penuh oleh HARAPAN untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak bagi meneruskan usaha mengambil semula kerajaan persekutuan.
"Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.
"Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie Apdal menyempurnakan pengembalian mandat tersebut," katanya mereka melalui satu kenyataan.
Difahamkan, mesyuarat semalam disertai pimpinan tertinggi tiga parti termasuk Mohamad Sabu, Lim dan Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail.
Untuk rekod, selepas Bersatu meninggalkan HARAPAN yang menyaksikan kerajaan pilihan rakyat pada Pilihan Raya ke-14 itu tumbang, Anwar dilantik mengetuai gabungan itu sebagai Pengerusi.
Pada awalnya, nama Anwar diletakkan sebagai calon perdana menteri disamping Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.
Bagaimanapun, satu mesyuarat diadakan gabungan itu bersama sebahagian pemimpin Bersatu diketuai Mahathir Mohammad dan parti Warisan di Petaling Jaya menyaksikan Mahathir kemudiannya dinamakan sebagai pilihan kedua bagi jawatan itu.
Keadaan itu kemudiannya menimbulkan keadaan tidak menentu dalam HARAPAN termasuk dikalangan penyokong mereka.
Anwar sebelum ini menegaskan, tiada keperluan untuk mengembalikan semula mandat semata-mata untuk meneruskan sistem usang tanpa memberi perhatian kepada keperluan usaha membangun rakyat dan menukar sistem pentadbiran kepada lebih baik.
0 Comments