Anwar ajak rakyat bangkit tolak kerajaan gagal


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DatuK Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat negara ini bangkit menuntut perubahan pentadbiran negara.

Ia susulan kegagalan Kabinet Muhyiddin Yassin yang didakwanya “tempang” menguruskan krisis pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan masyarakat merana.

Ketika menyampaikan amanat khas Presiden KEADILAN secara maya hari ini, Ketua Pembangkang di Parlimen itu turut mendakwa kerajaan dikepalai Muhyiddin ibaratkan sebagai samseng apabila mengambil tindakan terhadap pengkritiknya dengan menggunakan alasan darurat.

“Ini negara apa, kepimpinan samseng? Guna darurat (sepatutnya) untuk licinkan pentadbiran tetapi dera rakyat.

“Nak kuasa tapi tidak boleh buat kerja dengan teratur…kesannya derita rakyat bertambah. Jumlah meninggal dunia, sakit, dalam ICU dan positif semakin meningkat tetapi ujian besar-besaran belum ditingkatkan," tegasnya.

Anwar merujuk percanggahan  kenyataan menteri, ketidaktentuan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menyeluruh dan kelembapan mendapat vaksin yang menurutnya jelas membuktikan ketidakmampuan kerajaan dibentuk susulan "Langkah Shreaton' itu.

"Masalah kelembapan vaksin, mereka kata Selangor sudah diberikan 2.9 juta vaksin yang nasib baik dijelaskan kerajaan Selangor jumlahnya hanya lebih 600,000.

“Mereka kata akan dapat vaksin Mac dan suntik 75,000…yang dapat hanya 25,000 kemudian naik 45,000 pada April. Dengan jangkaan sekarang ini dan ikut unjuran tidak mungkin selesai akhir tahun,” katanya.

Anwar bersiaran langsung di Facebook hari ini bagi menggantikan perasmian Kongres KEADILAN yang sepatutnya berlangsung pagi  tadi.

Namun kongres itu yang perlu diadakan setiap setahun sekali diarah ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara mengejut lewat petang semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sementara itu sekali lagi mengulangi pendirian bahawa gabungan parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) akan bagi meruntuhkan kerajaan PN yang didakwanya dibarisi pemimpin yang rakus dan tamak kuasa.

“Tetapi janganlah anggap kita nak bolot kuasa, kita perlu ada kesepakatan dalam semua aspek kerana kita lihat ada kesenjangan yang nyata dalam PN ketika ini,” katanya sambil menyifatkan nakhoda negara ketika ini tiada hala tuju dalam membangunkan ekonomi dan rakyat.

Berlaku kesenjangan yang nyata zaman PN
“Negara tak boleh terhoyong-hayang, kita kena tegas dan tak boleh bertolak ansur. Perdana menteri dan kerajaan bersilih ganti tetapi kita masih terpalit dengan isu mengumpul khazanah, mengumpul kekayaan untuk keluarga itu keluar ini…

“Rasuah.. kalau rakyat izinkan ini berlaku, ini bermakna negara akan terus dilanda krisis dan malapetaka amat dahsyat dan akhirnya negara tidak akan mendapat keberkatan untuk tangani Covid-19.” katanya lagi dalam siaran langsung itu.

Post a Comment

0 Comments