PM dijangka hadir pratonton filem ‘Anwar, The Untold Story’


PERDANA MENTERI
Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada majlis tayangan pra-tonton filem ‘Anwar, The Untold Story’ di Dadi Cinema Pavilion, Kuala Lumpur malam ini.

Pengedar rasmi filem biopik itu, DMY Creation dan Yusrych Global dalam satu kenyataan semalam berkata  Anwar akan menonton filem tersebut bersama dengan 258 tetamu VIP yang terdiri daripada industri hiburan, tokoh politik dan selebriti.

Majlis tayangan tersebut akan bermula dengan kehadiran tetamu pada jam 7 petang dan diikuti dengan ketibaan Ahli Parlimen Tambun itu pada 8.30 petang.

Tayangan filem tersebut dijadualkan bermula pada jam 9 petang diikuti dengan sidang media bersama media pada jam 10.30 petang.

Antara yang dijangka hadir adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail;Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff.

Turut diundang adalah penerbit filem tersohor Datuk Yusof Haslam; Datuk M Nasir; Pengarah, Datuk David Teo; Datuk Habsah Hassan, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyanyaikan lagu runut bunyi filem berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.
 
Anwar, The Untold Story yang memaparkan liku perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menantang korupsi di negara ini.

Filem tersebut diarahkan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu, menampilkan pelakon, Farid Kamil yang membawa peranan sebagai Anwar manakala Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia mengisahkan perjalanan politik Anwar yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam memperjuangkan usaha menentang amalan korupsi di negara ini.

Filem biopik kisah sebenar PM lawan rasuah
Filem terbitan Bianglala Entertainment itu digarap berdasarkan kisah sebenar berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1993 hingga dipecat pada 1998.

Penggambaran dijalankan di Malaysia dan Indonesia dengan kos sebanyak RM10 juta dan akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 18 Mei tahun ini.

Post a Comment

0 Comments