MAJLIS Rumah Terbuka Malaysia MADANI yang berlangsung di Kedah pada Sabtu diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerajaan Persekutuan.
Harapan itu dinyatakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita di majlis dihadiri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet itu semalam.
"Harapan saya dari suasana yang sangat positif ini, hubungan silaturahim dalam kalangan dan sesama rakyat Kedah dapat dieratkan, dan juga hubungan antara kerajaan negeri (Kedah) dan Kerajaan Persekutuan akan bertambah baik, insya-Allah saya percaya.
"Saya lihat Perdana Menteri juga banyak meluangkan masa... beliau tiba sejam awal ke lokasi untuk bertemu dengan semua yang hadir, pergi khemah ke khemah, meja ke meja untuk melihat sendiri, dan itu adalah memang stail Perdana Menteri," katanya.
Sementara itu Fahmi menolak tohmahan segelintir pihak yang menuduh penganjuran rumah terbuka itu di enam negeri termasuk Kedah itu bertujuan politik.
Sebaliknya jelasnya, rumah terbuka yang dianjurkan di luar Putrajaya itu bertujuan mendekati rakyat dan memahami permasalahan mereka.
"Sudah pasti dalam keadaan (sambutan) Aidilfitri di Putrajaya (Seri Perdana) sahaja, sukar bagi mereka yang di Kedah untuk datang bersama.
![]() |
Peluang rakyat bertemu pemimpin negara |
"Sebagai contoh esok beliau akan ke Sabah. Walaupun Sabah tidak dinyatakan dalam senarai tetapi beliau pergi dan akan bersama-sama dalam program sambutan Aidilfitri di negeri Sabah," katanya.
0 Comments