Semua kementerian diarah pantau harga barang

SEMUA kementerian telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan di pelbagai peringkat bagi mengelak kenaikan harga barang, berikutan pelarasan gaji penjawat awam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata,  perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Rabu.

"Timbalan Perdana Menteri menyatakan keperluan memastikan aspek penguatkuasaan dipertingkat untuk memastikan supaya harga barang tidak naik, terutama makanan di restoran.

"Ada peringatan khusus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi kementerian (lain) juga diminta untuk meningkatkan pemantauan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Sementara itu menurutnya, susulan arahan itu Jemaah Menteri juga akan turun padang meninjau kawasan masing-masing atau lokasi yang dirasakan perlu untuk dilaksanakan pemantauan.

Pada 16 Ogos lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi peringatan kepada syarikat dan peniaga agar tidak mengambil kesempatan memberi tekanan kepada harga barang khususnya makanan  susulan pelarasan gaji yang akan dilaksanakan Disember ini.

“Saya harap pada bulan Disember jangan ada syarikat dan kedai ambil kesempatan kerana kita naik secara berfasa (pelarasan gaji), tidak harus beri tekanan kepada kos harga barang keperluan terutamanya makanan," katanya pada ucapan di  majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-19 di Putrajaya.
 

Post a Comment

0 Comments