UNDANG - UNDANG berkaitan sektor perumahan akan dipinda bagi memastikan tindakan lebih ketat dikenakan terhadap pemaju yang menipu pembeli.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, antara tindakan dicadangkan adakan dengan menyenarai hitam nama pemaju terbabit sekali gus mengelakkan pemaju berkenaan melarikan diri ke negara lain.
“Selain daripada itu, antara cadangan pindaan adalah duit yang dibayar oleh pembeli rumah kepada pemaju, kementerian akan mewujudkan satu akaun ketiga 'escrow'.
"Maksudnya, semua wang yang dibayar oleh pembeli akan digunakan khusus untuk projek itu sahaja. Kini tanpa akaun escrow, pemaju boleh memindahkan wang dari projek A ke projek B sehingga projek A menjadi projek terbengkalai.,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Agenda AWANI.
Dalam pada itu, Kor Ming juga memaklumkan KPKT kini sedang berusaha gigih untuk memperkenalkan Program Residensi Rakyat (PRR), insiatif baharu yang menambah baik segala aspek Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, sudah sampai masanya PPR direjuvenasikan dan dirancang berpandukan lima elemen utama iaitu accessibility, mobility, sustainability, livability dan connectivity seperti dilaksana di Jepun dan Singapura.
Menyentuh mengenai Belanjawan 2025 akan datang, Kor Ming berkata pihaknya akan mencadangkan inisiatif deposit MADANI sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama dimasukkan dalam Belanjawan itu.
Inisiatif selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku' itu dapat meringankan bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40 serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal.
0 Comments