Perjanjian antara gabungan mampu bentuk k'jaan stabil


PERJANJIAN antara gabungan antara semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan hari ini mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata perjanjian yang dijangka akan ditandatangani minggu depan itu adalah untuk memastikan terdapat persamaan dari segi dasar yang mengikat semua program yang dirancang antara parti politik terlibat.

“Perjanjian tersebut ialah, kerajaan ini akan kekal selama satu penggal dan tidak akan dibubarkan (dalam tempoh tersebut). Kita punya tujuan ialah, kita memahami bahawa kita memerlukan kestabilan untuk membina semula negara ini dan itulah tumpuan kita sekarang.

“Kita hendak memastikan struktur membuat keputusan untuk menguruskan perbezaan daripada gabungan yang ada ini ditakrifkan dengan jelas…termasuk kewajipan setiap parti memastikan Ahli-ahli Parlimen mereka mengundi menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kalau ada anggota mana-mana parti yang ingkar kepada undi itu, maka secara automatik dari sisi undang-undang anti lompat parti dia tergugur dan tidak jadi Ahli Parlimen,” katanya.

Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebelum ini memaklumkan satu perjanjian yang dalam proses akhir draf sedang dirangka.

Walaupun enggan mendedahkan secara rasmi kandungan draf itu, ia jelasnya bagi menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ditubuhkan dari pelbagai parti itu.

Perjanjian bakal ditandatangai secepat mungkin
Sementara itu menurut Rafizi melalui perjanjian yang akan ditandatangani itu, rakyat akan menjadi lebih jelas mengenai perancangan gabungan politik di dalam Kerajaan Perpaduan terutama apabila ia membabitkan gabungan dua blok politik yang sudah berseteru sejak lebih 20 tahun lalu.  

“Yang lebih penting, ia akan ditandatangani secara terbuka dan dokumen itu akan menjadi milik rakyat,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu dipetik.

Post a Comment

0 Comments